arena

TFC bawa bekalan tipis ke Kuantan

Oleh Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) membawa bekalan tipis pada aksi kedua 10 Mei ini apabila hanya mencatat kemenangan 2-1 menundukkan juara bertahan, Pahang dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan pantas mengatur serangan untuk mencari jaringan awal, namun dihampakan kekebalan pertahanan masing-masing.

Ketika masa permainan memasuki minit kesembilan, skuad Penyu menggamatkan lebih 10,000 peminat apabila mendahului menerusi jaringan Malik Mat Ariff.

Jaringan berpunca daripada hantaran pemain berdarah kacukan, Lee Tuck dari tengah padang dan singgah di kaki Malik sebelum pemain kelahiran Kuantan itu berjaya menggelecek penjaga gol, Helmi Eliza Elias selepas melepasi perangkap ofsaid.

Tersentak jaringan itu, corak permainan Tok Gajah kian pantas untuk memburu jaringan penyamaan dengan asakan lebih terarah di bahagian sayap kanan melalui pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, namun masih buntu menghasilkan jaringan.

Sebaliknya sekali lagi hasil hantaran tepat Tuck kepada Kipre Tchetche pada minit ke-26 membuahkan hasil apabila pemain yang diberi gelaran 'Drogba Ganu' itu bijak memperdaya kereta kebal Tok Gajah, Herold Goulon sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Dollah Salleh menggandakan asakan dan usaha berterusan skuad itu membuahkan hasil apabila Jose Eduardo mudah menanduk masuk hasil hantaran kapten, Matthew Davies pada minit ke-57.

Pada minit ke-69, pelawat memperoleh peluang menarik untuk menyamakan kedudukan menerusi Eduardo tapi sepakan pemain kelahiran Brazil itu singgah di palang gol sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.

Pada masa kecederaan, Tchetche melepaskan peluang keemasan untuk meledak jaringan kedua peribadinya apabila tolakannya hasil hantaran Sanjar Shaakmedov ditampan penjaga gol sekali gus kedudukan kekal 2-1.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 11:28pm
d