arena

Casillas stabil selepas dikejarkan ke hospital

Oleh Agensi

PENJAGA gol Porto, Iker Casillas dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terkena serangan jantung ketika menjalani latihan di padang latihan kelab berkenaan.

Pemain berusia 37 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan kini berada dalam pengawasan pihak hospital menurut jurucakap kelab Porto itu.

Penjaga Sepanyol itu memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara dan lima kali kejuaraan La Liga ketika bersama Real Madrid.

Dia juga sebahagian anggota pasukan skuad kebangsaan Sepanyol yang memenangi kejuaraan Euro pada 2008 dan 2012 dan juara Piala Dunia pada 2010.

Menurut kenyataan dikeluarkan Porto : “Casillas berdepan masalah sukar bernafas ketika menjalani latihan yang berlangsung di pusat latihan PortoGaia di Olival.

“Penjaga gol Porto itu kini ditempatkan di Hospital CUF Porto. Dia berada dalam keadaan baik, stabil dan masalah jantungnya berjaya diselesaikan.”

Bekas kelabnya Real Madrid menyiarkan kenyataan, memberi sokongan kepada penjaga gol itu supaya lebih tabah dan cepat pulih.

Menurut kelab itu, Casillas seorang pemain bola sepak profesional yang berjaya dalam membantu kelab meraih pelbagai kejayaan.

Dia seorang yang cukup dikenali sebagai individu yang mempunyai semangat kuat dan bekerja keras.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 11:48pm
d