arena

Lydia intai tuah Lake Merced

Oleh AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia Lydia Ko dari New Zealand kembali minggu ini ke lapangan golf yang banyak mencetus kejayaannya sekali gus mengintai peluang untuk meningkatkan semula permainannya.

Pemain berusia 22 tahun yang lahir di Seoul itu berusaha mempertahankan gelaran terbaru LPGA pada Kejuaraan Mediheal di lapangan Lake Merced di Daly City, California.

Lydia menang kejohanan sulung Mediheal tahun lalu di Lake Merced menerusi kemenangan playoff ke atas pemain Australia, Minjee Lee, namun kejayaannya di lapangan itu termasuk kejohanan Klasik LPGA Swinging Skirts 2014 dan 2015, kemenangan pertamanya dan mempertahankan gelaran sebagai pemain LPGA selepas memenangi Terbuka Wanita Kanada pada 2012 dan 2013 sebagai pemain amatur.

“Inilah tempat yang mana saya merangkul kejuaraan pertama sebagai pemain jelajah. Malah saya mampunyai tatu tarikh kemenangan saya di sini,” kata Lydia. “Ia sesuatu yang saya akan ingat selama mungkin. Kembali ke sini dan saya sering mempunyai tuah.

“Saya gembira melihat wajah sama dan sukarelawan serta ahli kelab yang saya sering temui di sini. Saya berasa seperti mereka bagaikan keluarga.”

Kejayaan Lydia pada 2014 memulakan musim yang menyaksikannya menang dua lagi gelaran, termasuk acara penamat musim Kejuaraan Jelajah dan muncul Pemain Terbaik Rookie Tahunan paling muda pada usia 17 tahun.

Pada 2015, dia menang sekali lagi di Lake Merced, kejayaan kedua daripada lima gelaran jelajah tahun itu, termasuk kejayaan ketiga pada Terbuka Wanita Kanada dan gelaran utama sulungnya Kejuaraan Evian.

“Saya hanya suka datang ke tempat yang mana saya beraksi bagus,” kata Lydia. “Ia memberikan saya perasaan yang menyeronokkan.”

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 12:19pm
d