arena

Kedah enggan tercicir mata berdepan City Boys

Oleh Izzali Ismail

KEDAH mahu mengutip mata penuh apabila berdepan Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata skuadnya sukar melupakan kekalahan 1-2 di Stadium KLFA apabila tewas mengejut kepada The City Boys pada 6 April lalu.

Malah skuad itu juga gagal meraih mata penuh pada dua perlawanan terakhir mereka dan tidak mahu tercicir lagi.

Dia mahu skuadnya bangkit mengutip tiga mata di laman sendiri untuk mengukuhkan kedudukan Kedah dalam carta Liga Super.

"Sejujurnya, saya tidak lena tidur apabila Kedah tewas kepada Kuala Lumpur kerana pada perlawanan berkenaan saya melihat Kedah tidak patut kalah.

"Ini peluang terbaik dan tidak boleh disia-siakan.

"Momentum kemenangan Kedah selepas menewaskan PKNS FC 3-1 dalam saingan Piala FA dijangka memberi suntikan motivasi pemain berdepan Kuala Lumpur.

Aidil berkata skuadnya perlu mengekalkan tahap kecergasan terbaik.

Ia bagi mengelak isu keletihan dan kecederaan selepas aksi Piala FA di Shah Alam, kelmarin.

"Sekalipun perlu cukup rehat namun itu tidak dapat mengubah apa-apa kerana tempoh perlawanan adalah dekat.

"Beberapa pemain seperti Renan Alves, Thanabalan, Rizal Ghazali, Farhan Roslan dan masih dalam senarai kecederaan.

Saya berharap mereka kembali cergas."

Kedah tewas 0-1 kepada Melaka United di Melaka dan seri 1-1 dengan Selangor di tempat sendiri sebelum ini.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 4:02pm
d