arena

'Mungkin nasib tidak menyebelahi saya' - Gillian

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

ATLET Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), Nur Aina Kamalia melakar kejutan apabila menjuarai kategori Terbuka Remaja Wanita pada Kejohanan Boling Terbuka Malaysia ke-40 yang berlangsung di Sunway Megalanes hari ini.

Nur Aina Kamalia yang mencatat 1,670 jatuhan pin selepas aksi final membabitkan lapan game mengetepikan juara Kejohanan Boling Remaja Asia ke-20 yang berakhir minggu lalu, Gillian Lim yang melakukan 1,649 jatuhan pin.

Tempat ketiga milik atlet Singapura, Fion Liew dengan jumlah 1,555 jatuhan pin.

Gillian ketika dihubungi tidak menyangka dapat menempatkan diri dalam kedudukan kedua terbaik berikutan saingan sengit dihadapinya.

“Sehingga akhir perlawanan, saya sendiri tidak menyangka dapat menduduki tiga tempat teratas dan hanya diberitahu sebaik tamat perlawanan itu,” kata Gillian yang juga atlet pelapis kebangsaan.

“Tidak banyak perbezaan saya dengan pemenang tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian hari ini, mungkin nasib tidak menyebelahi saya kali ini.

Biarpun mengakui keletihan selepas beraksi di Kuching sebelum menyambung perjuangan di Kuala Lumpur, Gillian mendedahkan dia tetap berkeyakinan untuk menampilkan aksi terbaiknya.

Namun nasib tidak menyebelahi wakil negara dalam kategori Terbuka Remaja Lelaki apabila tiga tempat teratas menjadi milik Ahmed Alawadhi dari Bahrain, Merwin Tan dari Filipina dan Joyan Khoo dari Singapura.

Pencapaian terbaik wakil Malaysia adalah menerusi Izz Naqiuddin Putra yang menduduki tangga keempat.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 7:10pm
d