arena

Arsenal selesa gol lewat Auba

Oleh Reuters

PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang meledak gol lewat penting untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Valencia awal pagi tadi dan melegakan pasukannya bagi aksi separuh akhir kedua Liga Europa di Sepanyol, minggu depan.

Alexandre Lacazette menyumbat dua gol pada babak pertama (minit ke-18 dan 26) selepas Mouctar Diakhaby mengejutkan penonton di Stadium Emirates, London dengan gol menerusi tandukan (m-11) untuk membantu Valencia mendahului.

Perlawanan itu masih seimbang sebelum rembatan voli penyerang Gabon, Aubameyang pada minit ke-91 membantu pasukannya menguasai menjelang aksi kedua di gelanggang Valencia, Mestalla.

Pasukan kendalian Unai Emery perlu lebih mantap berbanding apa yang mereka lakukan di gelanggang lawan sepanjang musim ini, jika mereka mahu layak ke final di Baku dan kemungkinan bertemu musuh setempat London, Chelsea.

Chelsea seri 1-1 di laman lawan pada separuh akhir pertama menentang Eintracht Frankfurt.

Arsenal, yang terkandas pada separuh akhir Liga Europa tahun lalu, kalah tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut untuk merudum ke tangga kelima carta dengan baki dua perlawanan – menyukarkan harapan mereka layak ke Liga Juara-Juara menerusi penamat empat teratas.

Namun Emery mempunyai hubungan istimewa dengan Liga Europa sesudah memenanginya tiga kali berturut-turut bersama Sevilla dan merangkul trofi buat kali pertama bersama Arsenal kini dilihat sebagai laluan mereka ke pertandingan elit itu.

“Kami sedar ia pasti sengit (di Valencia) jadi sudah tentu mendapat banyak gol sebagai bekalan lebih bagus buat kami,” kata Lacazette, yang sepatutnya meledak hatrik.

“Mujurlah Auba menjaringkan gol ketiga. Kami mahu menang Liga Europa untuk layak ke Liga Juara-Juara selain memenangi trofi.”

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 7:14am
d