arena

Wee Wern, Sivasangari mara ke separuh akhir

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN skuasy wanita negara, Low Wee Wern menempah tempat ke separuh akhir Kejohanan Individu Asia selepas mengalahkan Satomi Watanabe dari Jepun di pusingan ketiga hari ini.

Wee Wern pilihan keempat mengakui berdepan tentangan sengit sebelum berjaya bangkit mencatat kemenangan 5-11, 5-11, 11-1, 11-8, 11-8 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

"Saya harus memberi pujian kepada Satomi kerana dia sangat bersemangat hari ini dan saya rasa ini adalah aksi terbaiknya namun saya pula tidak melakukan sebarang kesilapan terus bertahan sehingga berjaya bangkit semula dari ketinggalan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan tamat.

Wee Wern yang berasal dari Pulau Pinang mengakui bahawa dia sedikit tertekan selepas diletakkan selaku pilihan keempat namun sudah bersedia dari segi mental untuk berdepan siapa sahaja dalam kejohanan itu.

Sementara itu, seorang lagi pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari turut mara selepas berjaya mengalahkan Joey Chan dari Hong Kong, 11-7, 11-8, 15-17, 11-8.

Sivasangari yang meraih perak di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, bakal berdepan Joshana Chinappa dari India di separuh akhir esok.

Dalam saingan perseorangan lelaki, Ivan Yuen gagal ke separuh akhir selepas tumpas kepada Leo Au Chun Ming dari Hong Kong 11-6, 7-11, 5-11, 7-11.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 6:11pm
d