arena

Peng Soon-Liu Ying mara ke separuh akhir

Oleh Ferzalfie Fauzi

PASANGAN beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuktikan bahawa mereka lebih hebat berbanding Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila berjaya memenangi aksi suku akhir Terbuka New Zealand hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang menduduki ranking kelima dunia berjaya mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-11 dan bakal berentap dengan wakil Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja di separuh akhir esok.

Aksi kedua-dua pasangan ini ibarat buku bertemu ruas selepas beregu berkenaan menunjukkan peningkatan mendadak sejak dari Terbuka Malaysia bulan lalu. Peng Soon-Liu Ying dan Kian Meng-Pei Jing juga kedua-duanya berentap sesama sendiri untuk mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Sementara itu, satu lagi pasangan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai terkandas di suku akhir selepas mereka kalah 14-21, 19-21 kepada wakil Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Bagi aksi beregu lelaki pula, dua pasangan negara terpaksa akur dengan kehebatan anak buah Tan Kim Her apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah kepada pilihan utama, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-17, 15-21, 10-21.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula kalah kepada satu lagi pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 7-21, 18-21.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 6:52pm
d