arena

Atlet OKU berusaha gigih

Oleh Aida Adilah Mat

HAKIKAT yang perlu ditelan biarpun pahit adalah sukan yang membabitkan atlet kelainan upaya (OKU) belum di terima secara menyeluruh dalam arus sukan perdana negara.

Perkara itu diakui oleh Setiausaha Kehormat Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Siti Zaharah Abdul Khalid ketika diminta mengulas mengenai Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) yang terpaksa meminta derma untuk tabung kebajikan atlet paralimpik di Perlis.

"Untuk maklumat semua, PESRON adalah badan bukan kerajaan dan mereka perlu bijak mencari dana sendiri untuk pembangunan sukan OKU negeri.

"Setahu saya, PESRON tidak mempunyai peruntukan tetap untuk pembangunan sukan OKU di peringkat akar umbi dan malangnya kebanyakan majlis sukan negeri masih tidak mengiktiraf atlet OKU sebagai atlet di dalam program majlis sukan negeri itu sendiri," katanya.

Siti Zaharah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang atlet OKU mengharapkan derma orang ramai untuk tabung kebajikan atlet OKU di Perlis baru-baru ini.

Beliau berkata, layanan dan situasi yang diterima atlet OKU tidak sama dengan atlet bukan OKU malah MPM sendiri tidak mendapat bantuan yang sama seperti Majlis Olimpik Malaysia (OCM) atau persatuan sukan lain.

Ia adalah kenyataan yang perlu diterima kerana itulah realiti membabitkan atlet OKU di negara ini.

"MPM bagaimanapun sedang berusaha untuk membantu semua atlet OKU ini. Ada banyak lagi perjuangan yang perlu dilakukan oleh MPM.

"Kami sedang mencuba untuk melakukan yang terbaik, selangkah demi selangkah supaya atlet OKU di bantu," katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 8:08pm
d