arena

Syazwani, Rafiq mara ke pusingan kedua

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

ATLET boling elit negara, Muhammad Rafiq Ismail 'kembali bernafas' apabila mara ke pusingan kedua kategori terbuka lelaki pada Kejohanan Boling Terbuka Malaysia ke-40 yang berlangsung di Sunway Megalanes, hari ini.

Sekali gus peluangnya untuk mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada 2016 masih terbuka dengan syarat fokus dan bermain sebaik mungkin esok. Bermula agak baik dengan 253 jatuhan pin, permainan Muhammad Rafiq merosot dan tidak konsisten dari 'game' kedua hingga ke enam sebelum bangkit semula mencatat 235 jatuhan pin pada dua set terakhir.

Dia mengumpul keseluruhan 1,648 jatuhan pin dan berada di kedudukan ke 13 berbanding dua rakan sepasukan, Alex Liew dan Timmy Tan, masing-masing kedua dan ketiga.

"Syukur saya berjaya bangkit semula pada dua game terakhir sekali gus layak bersaing di pusingan kedua.

"Bagi saya 'lane' agak mencabar menyembabkan permainan saya tidak konsisten," katanya.

Sementara itu, dia bertekad berada di kelompok tiga terbaik dalam pusingan kedua esok dan layak ke Step Ladder.

Sementara itu, atlet elit negara, Nur Syazwani Sahar mara ke pusingan kedua esok apabila mengungguli pusingan pertama kategori Terbuka Wanita hari ini.

Dia yang juga naib juara kategori terbuka wanita pada 2015, mengumpul jatuhan pin 1,828 untuk mengatasi atlet Korea Selatan, Sung Gyong Eun (1,711) dan rakan senegara, Shalin Zulkifli (1,682).

"Cabaran memang sengit daripada atlet Korea Selatan selain pemain boling tempatan, apatah lagi mereka kaya pengalaman berbanding saya.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini (cabaran) bagi mengelak rasa tertekan dan akan melakukan yang terbaik," katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 9:27pm
d