arena

Bruno pastikan TFC II lakar kemenangan

Oleh Malik Muhamad

TERENGGANU FC II (TFC II) mencatat kemenangan tipis 1-0 menundukkan UiTM FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Pemain kelahiran Brazil, Bruno Suzuki sekali lagi muncul wira sebagaimana ketika bertemu Negeri Sembilan minggu lalu apabila jaringan tunggalnya memastikan skuad TFC II meraih tiga mata sekali gus mengumpul 19 mata dalam saingan liga.

Terdahulu sepanjang 45 minit pertama, aksi kedua-dua pasukan dilihat begitu hambar dengan bola banyak berlegar di bahagian tengah.

Pengendali The Turtles, Tengku Hazman Raja Hassan dan pengendali Lions Troop, Ismail Zakaria tidak senang duduk melihat aksi kurang bertenaga dan tiada kreativiti dipamerkan anak buahnya sepanjang babak pertama berlangsung.

Hanya dua percubaan menerusi penyerang import kelahiran Nigeria, Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-34 dan 42 yang sedikitpun tidak mencemaskan kubu pelawat yang dikawal Muhamad Nor Haziq Mohd Aris.

Manakala skuad lawan hanya memperoleh satu percubaan menerusi pemain kelahiran Brunei, Adi Said pada minit ke-35 yang juga tidak memberi ancaman kepada penjaga gol, Mohd Sharmiza Yusof.

Bersambung babak kedua, rentak permainan pasukan tuan rumah sedikit berubah dengan lebih banyak mencipta gerakan dan hasilnya pada minit ke-51, Suzuki meletak pasukannya di depan 1-0.

Jaringan itu berpunca selepas pemain yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu bijak menyambung hantaran Hafizal Mohamad Alias dalam kotak penalti dengan melakukan rembatan kencang sebelum bola terkena tiang dan terus menerjah gawang.

Skuad UITM memperolehi peluang menarik untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan Mohd Nazrin Syamsul Bahri pada minit ke-83, namun dihampakan penjaga gol untuk kedudukan kekal 1-0.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 11:30pm
d