arena

Usah perlekeh Jorginho

Oleh AFP

CESAR Azpilicueta menegaskan Jorginho mampu menutup mulut pengkritik kerana pemain tengah Chelsea itu kini berada di kemuncak prestasi menjelang aksi penting menentang Watford malam esok.

Jorginho melalui musim pertama yang sukar bersama Chelsea dengan aksi tidak menentu dan hubungan baiknya dengan pengendali Blues Maurizio Sarri menjadikannya sasaran kekecewaan penyokong kelab itu.

Sarri membawa masuk Jorginho dari Napoli pada musim rehat liga selepas mengenalpasti kelemahan di bahagian tengah Chelsea.

Pengendali berusia 60 tahun itu percaya pemain Itali itu adalah yang terbaik untuk mengimplementasi rancangan permainannya selepas bekerjasama dengan baik di Serie A.

Bagaimanapun ia tidak menjadi di Chelea, apabila N'Golo Kante terpaksa meninggalkan posisi tengah bertahan yang digemarinya, sukar menyesuaikan diri dengan gaya permainan ‘Sarri-ball’, yang kemudiannya mencetuskan kritikan terhadap Jorginho dan pengurusnya daripada penyokong Stamford Bridge.

Namun kapten Chelsea Azpilicueta yakin Jorginho masih punya tempat dalam pasukannya dan mendakwa aksi Jorginho di Eintracht Frankfurt awal pagi semalam membuktikan kata-katanya.

Biarpun kepalanya berbalut akibat luka, Jorginho masih watak penting bagi memastikan Chelsea seri 1-1 dalam aksi pertama separuh akhir Liga Europa.

“Jorginho pemain yang penting buat kami,” kata Azpilicueta.

“Ada kalanya kami semua bergelut kerana apabila gagal mencapai keputusan itu bermakna kami tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Namun ini musim pertamanya di England, kali pertama di kelab baharu.”

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 10:50am
d