arena

PDRM pinjam bintang Liga Super

Oleh Rizar Mohd Noor

PASUKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membawa masuk pemain tempatan secara pinjaman untuk menguatkan skuad itu bagi mengharungi pusingan kedua Liga Perdana sebaik jendela perpindahan kedua dibuka bermula 2 Mei lalu.

Pengurus pasukan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, seorang pemain daripada pasukan Liga Super akan menyertai skuad The Cops dan akan menguatkan posisi kiri.

"Bila kami dilepaskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membenarkan kami mendapatkan pemain baharu dalam masa jendela perpindahan kedua, kami sudah kenal pasti beberapa pemain untuk dibawa masuk ke pasukan PDRM,” katanya.

"Setakat ini yang boleh saya sahkan hanya seorang pemain tempatan daripada skuad Liga Super yang kami pinjam tetapi saya tidak mahu buat pengumuman dulu. Dia seorang pemain yang agak ternama dan akan menampung kekurangan di sebelah kiri.

"Mengenai pertukaran pemain import, ia masih dalam perancangan namun saya tidak boleh dedahkan sama ada kesemua pemain import yang ada sekarang akan ditukar atau sebaliknya. Itu semua dalam perancangan."

Mengulas mengenai persembahan PDRM yang muncul pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim II (JDT II) selepas menang 1-0 pada aksi Liga Perdana, malam tadi, Kamarul Ariffin mengakui kurang berpuas hati dengan persembahan corak permainan skuad bimbingan E Elavarasan.

Katanya, bukan permainan terbaik PDRM namun semangat juang setiap pemain yang begitu tinggi membolehkan pasukan itu membawa pulang tiga mata dan satu permulaan yang baik bagi mengharungi pusingan kedua liga.

Sementara itu, Elavarasan menegaskan kemenangan yang diraih menewaskan skuad kendalian Ervin Boban bergantung kepada nasib semata-mata selepas gol yang terhasil menerusi sepakan percuma pemain import Lee Chong-hoon.

"JDT II tidak menurunkan kesebelasan utama dan nasib kami baik untuk menang dalam perlawanan itu. Malah saya akui peluang menang 50-50 kerana anda sendiri lihat sama ada JDT II atau PDRM sukar menjaringkan gol.

"Persembahan Andrezinho kurang berkesan pada perlawanan itu dan sebab itu saya keluarkan dia pada aksi kedua bagi menguatkan posisi tengah namun saya tetap berpuas hati dengan kualiti yang dipamerkan dan pemain juga ada ketika baik dan kurang baik," kata Elavarasan.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 12:21pm
d