arena

Ake pastikan Spurs tewas

Oleh Reuters

DUA pemain Tottenham Hotspur dilayangkan kad merah dan gagal memastikan kedudukan selesa pasukan itu dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas kekalahan 0-1 kepada Bournemouth di Stadium Vitality, malam ini.

Ketika Chelsea, Arsenal dan Manchester United -- iaitu pencabar Tottenham untuk tempat ketiga dan keempat - tidak beraksi sehingga Ahad, kemenangan buat Spurs ke atas lawan pastinya menjamin kedudukan kelompok empat teratas dan kelayakan untuk Liga Juara-Juara musim depan.

Spurs mendominasi awal permainan di Vitality namun penampilan liga oleh penjaga gol Mark Travers memberi inspirasi kepada pasukan tuan rumah apabila pemain berusia 19 tahun itu beraksi cemerlang menahan asakan dan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan.

Ujian Tottenham bertambah sukar apabila penyerangnya Son Heung-min dilayangkan kad merah kerana menolak Jefferson Lerma dua minit sebelum masa rehat permainan.

Malah pemain gantian pada separuh masa kedua Juan Foyth hanya beraksi beberapa minit sebelum dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras.

Bournemouth berdepan laluan sukar ketika beraksi dengan kelebihan dua pemain sehingga Nathan Ake menanduk masuk gol dari sepakan sudut untuk memastikan kemenangan dramatik pasukan pada minit ke-90.

Spurs, yang dikejutkan Ajax Amsterdam, 1-0 akan mengharungi perlawanan kedua Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini, kekal di kedudukan ketiga, dua mata di hadapan Chelsea dan empat mengatasi Arsenal dalam saingan kelompok empat teratas sehingga berakhir musim ini.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 10:52pm
d