arena

Skuad Tambadau raih tiga mata

Oleh Ryan Stanley

SABAH kembali merampas kedudukan kedua Liga Perdana apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 terhadap Selangor United di Stadium Likas, di Kota Kinabalu, malam ini.

Tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan gol apabila Rodoljub Paunovic menyepak masuk tandukan Alto Linus pada minit ke-6.

Empat minit kemudian, skuad Tambadau hampir memperolehi gol kedua namun tandukan Park Taesu hasil sepakan sudut Mohd Azzizan Nordin terkena tiang.

Pada minit ke-13, giliran Luis Carlos Junior memiliki peluang, bagaimanapun, cubaannya hasil hantaran Alto dihalang penjaga gol Selangor United, Muhamad Nuraizat Abdul Aziz.

Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi sepakan percuma Mohd Fauzan Dzulkifli namun cubaan terusnya itu diselamatkan penjaga Sabah, Rozaimie Rohim.

Skuad kendalian Talib Sulaiman itu kemudian sekali lagi mencemaskan pintu gol Sabah pada minit ke-34 menerusi cubaan Nikita Olegovich Pavlenko, bagaimanapun, sepakannya itu sekadar menggegarkan tiang walaupun Rozaimie sudah pun tertewas.

Pada minit ke-41, ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil memiliki peluang untuk menambah jaringan buat pasukannya namun tandukannya melepasi palang dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Selangor United dilihat lebih garang di awal permainan namun masih gagal menembusi benteng pertahanan Sabah yang dikemudi Rawilson dan Taesu.

Pada minit ke-56 cubaan Paunovic dari dalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol dan selang beberapa minit selepas itu, Selangor United pula memiliki peluang namun rembatan Nikita terus ke dakapan Rozaimie.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 11:43pm
d