arena

Origi wira Liverpool, Spurs tewas lagi

Oleh AFP

TANDUKAN Divock Origi menjulang Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana walaupun kehilangan Mohamed Salah akibat kecederaan di kepala ketika menewaskan Newcastle 3-2 awal pagi tadi manakala Tottenham yang beraksi dengan sembilan pemain sekali lagi tewas 0-1 di Bournemouth.

Cardiff pula tersingkir selepas tewas 2-3 kepada Crystal Palace.

Pertarungan sengit kejuaraan di antara Liverpool dan Manchester City kini tertumpu pada perlawanan terakhir musim selepas skuad Jurgen Klopp kembali memintas City dengan kelebihan dua mata.

City pula mempunyai kelebihan satu perlawanan, menentang Leicester di tempat sendiri pada awal pagi Selasa tetapi Liverpool enggan menyerah kalah dalam menamatkan kemarau kejuaraan 29 tahun.

"Jika kami juara, kami adalah juara, anda tak boleh merasai tekanan jika melakukan yang terbaik,” kata Klopp.

"94 mata jumlah sangat hebat. Aksi hari ini membabitkan semangat tetapi kemenangan ini hasil daripada kesabaran, sepenuh hati dan sudah pasti kemahuan tinggi.”

Virgil van Dijk menjaringkan gol pertama pelawat di St James' Park tetapi Newcastle menyamakan kedudukan menerusi Christian Atsu.

Rembatan Salomon Rondon terkena tangan pertahanan Liverpool Trent Alexander-Arnold di atas garisan gol dan bola muntah pantas di tolak masuk Atsu.

Jaringan kedua pelawat menerusi Salah yang mudah merembat bola melepasi penjaga gol Newcastle selepas mendapat hantaran Alexander-Arnold dari sebelah kanan.

Bagaimanapun, Rondon menyamakan kedudukan sekali lagi buat tuan rumah pada awal babak kedua.

Salah kemudiannya terpaksa diusung keluar akibat kecederaan kepala selepas berlaga dengan penjaga gol lawan, Martin Dubravka sekali gus bakal tersisih untuk aksi menentang Barcelona dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu ini.

Walaupun kehilangan Roberto Firmino juga akibat kecederaan, Liverpool enggan mengalah dan Origi muncul wira Liverpool apabila menanduk masuk hantaran sepakan percuma Xherdan Shaqiri.

"Anda boleh merasakan emosi itu. Musim sangat istimewa buat semua,” kata Origi. “Tetapi sebagai pemain anda perlu terjemahkan emosi itu melalui prestasi cemerlang.”

Tottenham yang tewas 0-1 kepada Ajax dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara perlu bekerja lebih keras jika mahu layak ke kejuaraan elit Eropah itu musim depan selepas mengalami kekalahan keenam berturut-turut di tempat lawan.

Skuad Mauricio Pochettino tampak mampu mencuri satu mata sehinggalah pertahanan Bournemouth Nathan Ake muncul wira tuan rumah menerusi tandukan pada lewat permainan.

Chelsea yang berada di tempat keempat bakal memintas Spurs jika mereka menewaskan Watford dan Arsenal yang kini di tangga kelima akan mengatasi jiran utara London itu dengan satu mata jika menewaskan Brighton malam ini.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 7:24am
d