arena

Zidane lega tugas sempurna

Oleh AFP

REAL Madrid memberi reaksi balas susulan kritikan pedas Zinedine Zidane ketika Mariano Diaz meledak dua gol membantu kemenangan 3-2 ke atas Villarreal, awal pagi tadi.

Zidane yang berang mempersoalkan sikap pemainnya selepas tewas 0-1 kepada Rayo Vallecano minggu lalu dan bertindak membuat lebih banyak perubahan, malah Luka Modric dan Gareth Bale langsung tidak disenaraikan dalam skuad.

“Saya jurulatih,” kata Zidane. “Saya pilih skuad, muktamad.”

Sebaliknya pemain muda seperti Jesus Vallejo, Brahim Diaz dan Federico Valverde diberi peluang untuk memukau, di samping Mariano, yang jarang digunakan sejak menyertai kelab itu dari Lyon pada musim panas lalu.

Dua golnya, dengan Vallejo menyumbat gol sulung buat kelab itu, sudah mencukupi sekalipun Jaume Costa membalas satu gol lewat buat Villarreal untuk mencipta debaran tidak disangka pada hujung perlawanan.

“Kami bermain lebih baik berbanding menentang Rayo,” kata Zidane. “Kami perlukannya dan pemain perlukannya. Kami bermain bagus, tiada alasan lagi, kami melakukan tugas dan menang.”

Keputusan itu menyaksikan pasukan tangga ketiga Madrid enam mata di belakang Atletico Madrid dalam La Liga dengan baki dua perlawanan.

Madrid perlu menang dua baki perlawanan mereka dan Atletico kalah dua untuk menghalang anak buah Diego Simeone berakhir sebagai pasukan teratas di ibu negara Sepanyol itu buat tahun kedua berturut-turut.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 8:45am
d