arena

Valverde waspada sejarah Anfield

Oleh AFP

ERNESTO Valverde mahu Barcelona berpijak di bumi nyata selepas kemenangan 3-0 ke atas Liverpool lantas beliau mahu anak buahnya supaya berwaspada apabila mereka bertemu pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi Rabu ini.

“Liverpool pasukan yang boleh membuatkan mana-mana lawan menderita,” kata pengurus dari Sepanyol itu pada sidang akhbar selepas perlawanan.

“Sudah tentu tahun lalu kami mempunyai kelebihan tiga gol pada suku akhir. Akhirnya kami tersingkir.”

Valverde sedar kekalahan di tangan AS Roma itu masih menghantui sebahagian besar pemainnya.

Perlawanan itu bagaikan milik mereka selepas menang 4-1 di Nou Camp sebelum kekalahan 0-3 di Rome melengkapkan satu daripada kebangkitan terhebat dalam Liga Juara-Juara dan membantu kelab Itali itu ke separuh akhir.

Kejayaan Real Madrid memenangi pertandingan itu kali keempat dalam tempoh lima tahun turut menambah luka di hati.

Tiga belas bulan berlalu, Liverpool berharap keraguan dan kekecewaan lawan sebelum ini mampu membantu mereka untuk memahat kebangkitan terhebat kelab itu sejak final 2005 di Istanbul.

“Kami tidak mempunyai alasan untuk berasa puas hati,” kata Valverde. “Keputusan ini bagus, saya tidak ragu-ragu mengenainya, tapi perlawanan ini masih terbuka.”

Liverpool lebih kuat berbanding Roma. Mereka menjaringkan tiga atau lebih gol dalam 19 perlawanan musim ini, menentang lawan seperti Paris Saint-Germain, Manchester United, Arsenal dan FC Porto. Gol awal di Anfield awal pagi Rabu ini pasti meningkatkan keyakinan mereka.

Namun Barcelona juga lebih kuat kali ini dan satu lagi kekalahan, walaupun menentang pasukan segagah Liverpool, pasti mencetus satu lagi kejutan besar.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 12:29pm
d