arena

Tsitsipas cetus kejayaan berganda Greece

Oleh AFP

PILIHAN utama Stefanos Tsitsipas mengalahkan Pablo Cuevas 6-3, 7-6 (7/4) untuk menjuarai kejohanan Terbuka Estoril semalam sekali gus memberikan Greece kejayaan kedua tenis pada hujung minggu selepas Maria Sakkari menang di Rabat.

Tsitsipas, 20, merangkul kejuaraan karier ketiganya selepas menjulang trofi di Stockholm, Oktober lalu dan Marseille, Februari lalu dan dijangka melonjak ke tangga kesembilan dalam ranking dunia dikeluarkan hari ini.

“Anda perlu berjuang hebat dan memberikan segala jiwa raga di gelanggang. Kejuaraan ini amat bermakna buat saya,” kata Tsitsipas.

“Ia di gelanggang tanah liat, satu daripada permukaan gelanggang kegemaran saya. Gembira melengkapkan gelaran di tanah liat yang saya usahakan selama ini. Berikutnya di gelanggang rumput, mungkin juga beberapa gelaran tanah liat lagi tahun ini, ia pasti menakjubkan.”

Sabtu lalu, Maria merangkul gelaran sulung Jelajah WTA dengan kemenangan 2-6, 6-4, 6-1 ke atas pemain Britain, Johanna Konta pada final kejohanan gelanggang tanah liat Rabat.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 1:54pm
d