arena

Eain Yow berguru di Bristol

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS mempamerkan aksi memberangsangkan sejak kebelakangan ini termasuk di Kejohanan Individu Asia, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow bakal mendapat habuan iaitu ditawarkan berlatih di luar negara.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengesahkan bahawa mereka akan menghantar pemain nombor satu perseorangan lelaki negara itu untuk berlatih di England.

Menurut Pengarah Kejurulatihan SRAM, S Maniam, Eain Yow akan berangkat ke negara berkenaan minggu ini dan akan bekerjasama dengan jurulatih berpengalaman, Hadrian Stiff.

"Ini adalah sebahagian daripada program pembangunan buatnya dan persiapan untuk Terbuka British yang berlangsung 20 hingg 26 Mei depan.

"Menghantarnya untuk berlatih di luar negara sudah lama dirancang dan dia sudah bersedia serta gembira mengenai keputusan ini," kata Maniam.

Dia yang membantu pasukan lelaki meraih emas pertama di Sukan Asia tahun lalu akan berpangkalan di Bristol.

"Sebelum ini kita perancangan kita adalah untuk membiarkan dia terus berlatih sehingga Terbuka British namun Stiff menasihatkan kepada kami tidak ramai pemain terkemuka dunia ketika itu kerana musim sudah berakhir.

"Jadi dia akan pulang semula selepas Terbuka British dan bercadang untuk menghantarnya semula menyambung latihan untuk fasa kedua. Kita juga akan menghantar pemain lain seperti Syafiq Kamal dan Addeen Idrakie," katanya.

Stiff melatih beberapa pemain ternama dunia seperti Joelle King dan Marwan El Shorbagy serta Mohamed El Shorbagy dari Mesir.

Eain Yow berjaya mengejutkan penyandang juara Kejohanan Individu Asia, Max Lee (Hong Kong) untuk mara ke separuh akhir sebelum dia tumpas kepada Saurav Ghosal dari India.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 5:42pm
d