arena

Masa depan Casillas samar

Oleh AFP

PENJAGA gol ternama Sepanyol Iker Casillas meninggalkan hospital di Portugal hari ini dan memberitahu masa depannya dalam bola sepak kini samar, lima hari selepas mengalami serangan jantung ketika berlatih bersama pasukan kelabnya.

Penjaga gol berusia 37 tahun itu yang beraksi mewakili Porto sejak 2015, dimasukkan ke hospital Khamis lalu selepas mengalami apa yang dikatakan kelab Portugal itu sebagai ‘acute myocardial infarction’ ketika latihan.

“Saya rasa lebih baik,” katanya kepada media di luar hospital di Porto.

“Saya mungkin berehat beberapa minggu atau mungkin beberapa bulan. Hakikatnya saya tidak peduli.

“Apa yang penting adalah berada di sini. Saya tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan.”

Casillas mewakili Sepanyol sebanyak 167 kali, menjuarai Piala Dunia 2010 dan dua Kejuaraan Eropah dan beraksi dalam lebih daripada 700 perlawanan bersama Real Madrid.

“Hakikatnya, ia adalah sesuatu yang boleh berlaku kepada sesiapa saja pada bila-bila masa,” tambahnya.

“Ia sukar untuk diperkatakan tetapi anda perlu bersyukur kerana saya bernasib baik.”

Dia memberi jaminan kepada peminat bahawa dia semakin pulih Khamis lalu, dan memberitahu menerusi media sosial bahawa semuanya dalam kawalan.

Media Portugal melaporkan Casillas menjalani pembedahan dan kempennya musim ini sudah berakhir.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 11:06pm
d