arena

Terima kasih Kompany!

Oleh AFP

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola mengetuai pujian terhadap Vincent Kompany selepas rembatan kencang pemain Belgium itu membantu kemenangan 1-0 ke atas Leicester City awal pagi tadi sekali gus hanya memerlukan satu kemenangan untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

City kembali mendahului satu mata di depan Liverpool sekalipun tidak mempamerkan aksi terbaik mereka ketika pertahanan tengah Kompany meledak gol dari jarak jauh menerjah penjuru gol 20 minit sebelum tamat.

Anak buah Guardiola boleh muncul pasukan pertama dalam tempoh sedekad mempertahankan kejuaraan di Brighton, Ahad ini selagi mereka menyamai atau mengatasi keputusan aksi Reds di laman sendiri menentang Wolves.

Kompany, yang dirundung nasib malang susulan kecederaan dalam beberapa tahun terakhir, menangis ketika dia mengetuai perarakan di sekeliling stadium bersama anaknya untuk menandakan perlawanan terakhir City musim ini dan mungkin beraksi kali terakhir di Etihad dengan kontraknya berakhir hujung kempen kali ini.

“Ada bebarapa pemain yang membantu di mana kami berada sekarang,” kata Guardiola. “Vincent seorang daripadanya.

“Apabila dia cergas, dia seorang pertahanan tengah yang menakjubkan. Dia disukai, dia seorang pemimpin. Saya gembira buatnya, buat kelab, buat setiap orang.”

Selepas mengatasi Newcastle 3-2 Sabtu lalu, Liverpool, yang tidak menang kejuaraan liga sejak 1990, amat berharap bekas pengurus Brendan Rodgers yang kini mengendali Leicester mampu membantu mereka di Etihad.

City kini menang 13 perlawanan liga berturut-turut untuk mengatasi defisit tujuh mata di puncak carta Januari lalu dan Guardiola mendakwa pasukannya bermain dalam tekanan di sebalik penantian 29 tahun Liverpool memenangi kejuaraan.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 7:36am
d