arena

Disiplin Guardiola panduan Ten Hag

Oleh AFP

ADA beberapa kelab yang mempunyai sejarah menyamai Ajax, namun mereka kini dalam proses melakar babak baharu di Amsterdam dengan Erik ten Hag mengemudi mereka di ambang tiga trofi semusim sejak hari-hari Johan Cruyff.

Ahad lalu, anak buah Ten Hag memenangi pusingan pertama apabila mengalahkan Willem II 4-0 untuk menjuarai Piala Belanda.

Pertarungan dengan PSV Eindhoven bagi kejuaraan Eredivisie bersambung hujung minggu ini dan ketika itu Ajax mungkin layak ke final Liga Juara-Juara pertama mereka sejak 1996.

Mereka mendahului 1-0 menjelang separuh akhir kedua menentang Tottenham Hotspur awal pagi Khamis ini dengan bintang muda seperti Matthijs de Ligt, Frenkie de Jong dan Donny van de Beek memukau Eropah dalam laluan yang turut menyaksikan mereka mengalahkan Real Madrid dan Juventus.

Pemain itu mendominasi muka utama akhbar, namun kerja yang dilakukan pengendali berusia 49 tahun, Ten Hag amat menakjubkan.

Corak permainan Ten Hag mencetus perbandingan dengan Pep Guardiola.

“Apabila kami kehilangan bola, kami mesti merampasnya semula secepat mungkin,” kata penjaga gol Andre Onana.

“Beliau fokus terhadap perkara itu, beliau sering memberitahu kami jika kami menguasai bola, kami berupaya memberi tekanan kepada lawan.”

Jika mereka menang tiga trofi semusim kali pertama sejak 1972, ketika Cruyff menjadi bintang di tengah padang, maka Ten Hag boleh dinobat sebagai legenda di kelab yang melahirkan ramai nama hebat.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 1:00pm
d