arena

City atau Liverpool? Tunggu Ahad ini

Oleh Reuters

BUAT kali kelapan dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, kejuaraan akan ditentukan pada hari terakhir musim dengan Manchester City berada di kedudukan terbaik memenangi kejuaraan kedua berturut-turut.

Kelebihan satu mata di depan Liverpool bermakna City akan merangkul kejuaraan keenam liga utama domestik Inggeris jika mereka menang di Brighton, Ahad ini – sekalipun jika anak buah Juergen Klopp menewaskan Wolverhampton Wanderers di Anfield.

Walaupun pendahulu carta liga bertukar tangan 32 kali musim ini, perubahan itu lebih disebabkan waktu perlawanan yang berbeza.

Ia berakhir Ahad ini dengan semua perlawanan bermula 1400 GMT (10 malam waktu Malaysia) ketika tekanan terakhir memuncak dalam tempoh 90 minit.

Tiada siapa mampu meramalkan kedua-dua pasukan akan melakukan kesilapan.

City menang 13 perlawanan Liga Perdana berturut-turut dan Liverpool lapan perlawanan terakhir mereka. Kedua-dua pasukan terselamat daripada debaran pada perlawanan kedua terakhir mereka.

Liverpool menang 3-2 di Newcastle terima kasih kepada tandukan pemain gantian Divock Origi pada minit ke-86 manakala City mengatasi Leicester awal pagi tadi selepas gol rembatan jarak jauh kapten Vincent Kompany pada minit ke-70.

City menikmati perarakan mengelilingi stadium di depan penyokong mereka selepas perlawanan terakhir di laman sendiri musim ini namun fikiran mereka beralih kepada cabaran Ahad ini menentang pasukan tangga ke-17, Brighton yang mempamerkan kekuatan mereka ketika seri 1-1 di Arsenal, Ahad lalu.

“Tinggal satu perlawanan dan ia pasti sukar seperti hari ini, kami beraksi di gelanggang lawan dan kami lihat Brighton bermain baik menentang Arsenal,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Tapi ia hampir berada dalam genggaman kami, jangan lupa kami mungkin ketinggalan 10 mata jika kami kalah di tangan Liverpool di sini. Kami ketinggalan tujuh mata, tapi kini kami berdepan perlawanan terakhir dan ia hampir menjadi milik kami. Kami akan bersiap sedia dengan rapi,” katanya.

“Kami akan lihat jika Brighton mengamalkan corak bertahan sepanjang perlawanan atau lebih menyerang. Ia pasti sukar, tapi harapnya kami akan mempamerkan persembahan selayaknya untuk menjadi juara.”

Jika City merangkul kejuaraan, Liverpool, dengan 94 mata sesudah hanya tewas sekali sepanjang musim, akan menamatkannya dengan mata tertinggi oleh pasukan naib juara dalam sejarah Liga Perdana.

City sudah menjaringkan 100 gol dalam semua pertandingan di Etihad musim ini – rekod bagi gol terbanyak di laman sendiri pasukan liga utama Inggeris dalam satu kempen.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 1:37pm
d