arena

Dayung cipta rekod MBOR

PENDAYUNG kayak solo negara, Murad Mohd Kassim terpaksa meredah air surut serta berdepan keadaan arus deras ketika melaksanakan misi Ekspedisi Kayak Solo Lagenda Arus Sungai Perak sejauh 350.92 kilometer (km) dari 21 April hingga 2 Mei lalu.

Kejayaan pesara Tentera berusia 49 tahun berasal dari Parit, Perak itu membolehkannya mencipta rekod dan diiktiraf Malaysian Book of Records (MBOR).

Menurut Murad, cabaran paling besar ditempuhi ialah ketika melalui berhampiran jeti Beting Beras Basah ke Bagan Datuk pada ekspedisi itu.

Malah arus deras seperti arus air terjun ketika melalui kawasan empangan sepanjang ekspedisi turut menguji keupayaan mental dan fizikalnya.

“Keadaan paling pahit bagi seorang pendayung adalah mendayung ketika air surut pengalaman itu dilalui ketika berada di Beting Beras Basah sehingga menyebabkan saya terpaksa melalui hampir enam jam sebelum tiba di jeti pada jarak 7 km itu.

Begitu juga melepasi arus deras dan keadaan arus air yang sukar di jangka di empat empangan sepanjang ekspedisi,” kata Murad yang melintasi 17 jambatan bersejarah, tiga tasik dan empat empangan sepanjang ekspedisi itu.

MBOR menerusi Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong menyerahkan sijil kepada Murad di Kuala Lumpur semalam diatas kejayaan program yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) dan Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B).

Majlis simbolik itu disaksikan Presiden MASCA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof.

Megat berkata, kejayaan Murad itu boleh dianggap luar biasa memandangkan laluan yang begitu mencabar di Sungai Perak.

"MBOR menetapkan sasaran lebih 300km untuk mengiktiraf ia sebagai rekod kerana ini adalah kali pertama.

"Kejayaan ini dapat dijadikan contoh buat golongan belia dan kami di MASCA amat menyokong kepelbagaian aktiviti berkayak seperti dilakukan pendayung kita ini," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 6:22pm
d