arena

Tiada tekanan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

TIADA tekanan bagi skuad ragbi 15 sebelah kebangsaan dalam mengharungi kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 bermula 18 Mei ini.

Ini kerana, berdepan dua pasukan handalan, Korea Selatan dan Hong Kong, meletakkan skuad kendalian Bradly Moni Mika selaku pasukan ‘underdog’, namun bertekad melakukan kejutan terhadap lawan.

Ketua pasukan kebangsaan, K Dineshvaran berkata, perkara utama kini adalah semua pemain fokus kepada latihan ditetapkan jurulatih bagi memperkemas segala kelemahan yang dikenal pasti ketika dua perlawanan ujian menentang Singapura dan Sri Lanka sebelum ini.

“Kalau rasa tekanan, mungkin Korea Selatan dan Hong Kong yang pastinya tidak mahu kalah dengan pasukan underdog.

“Tapi sasaran kita jelas untuk menang ke atas Korea Selatan dan Hong Kong,” katanya ditemui selepas perlawanan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Dineshvaran atau lebih dikenali ‘Dugro’ dalam kalangan rakan sepelatih berkata, keseluruhannya dia melihat ada peningkatan positif bagi skuad rabgi negara selepas dua perlawanan ujian sebelum ini.

“Bagi saya semua pemain bagus, tapi bila letih jadi seperti main untuk kelab dan kurang disiplin. Saya fikir kita ada kurang dua minggu lagi untuk latihan dan perbaiki kelemahan ini.

“Sebelum ini masa lawan di Singapura banyak kelemahan, tapi nampak banyak peningkatan dalam perlawanan malam ini (lawan Sri Lanka).

“Jadi kita akan terus berlatih dan melihat rakaman perlawanan serta bincang apa kukurangan perlu diatasi,” katanya.

Menurut Dineshvaran lagi dia berbangga dengan tahap permainan bertenaga ditampilkan pemain baru dan yakin skuad negara mampu pergi lebih jauh dalam sukan itu.

“Kami baru saja diserap bersama, saya rasa banyak peningkatan dan pasukan ini boleh mara lebih jauh.

“Bagi saya sendiri rasa amat bertuah dan bersyukur dapat bermain untuk skuad ragbi kebangsaan selepas tersisih akibat kecederaan tahun lalu dan dipilih pula sebagai kapten.

“Jadi kapten ini bukan hanya mengarah tapi berkongsi pengalaman dengan rakan untuk jadi yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 8:14pm
d