arena

Godin sebak umum perpisahan

Oleh Reuters

KAPTEN Atletico Madrid Diego Godin meninggalkan kelab itu selepas sembilan tahun sebaik kontraknya berakhir Jun ini, kata pertahanan Uruguay itu.

Dia membuat pengumuman itu pada sidang media hari ini sambil berusaha menahan air matanya daripada mengalir.

Godin, 33, beraksi sebanyak 387 kali bersama Atletico sejak meninggalkan Villareal pada 2010, menjaringkan 27 gol, termasuk menjulang gelaran La Liga buat kelab itu dalam tempoh 18 tahun menerusi tandukannya ketika seri 1-1 dengan Barcelona pada 2014.

Godin tidak berkata ke mana haluannya selepas ini tetapi media Sepanyol melaporkan dia mahu menyertai kelab Serie A Inter Milan.

“Saya agak gemuruh, lebih daripada ketika memulakan perlawanan tetapi saya memanggil anda ke sini untuk memberitahu ini adalah hari-hari terakhir saya di kelab ini,” kata Godin.

Presiden Atletico Enrique Cerezo menambah: "Kami berada di sini untuk mengucapkan selamat tinggal kepada legenda Atletico. Anda menjadi bahagian terpenting dalam era hebat kelab ini, dengan usaha dan jaringan anda, seperti yang anda lakukan ketika memberikan kami gelaran di Nou Camp.

“Anda berjuang dalam ribuan peperangan dan mempertahankan jersi kelab dalam setiap perlawanan dan dan menyarung ikat lengan kapten.

“Ke mana saja anda pergi, Atletico mengucapkan selamat berjaya kepada anda. Atletico adalah keluarga anda, Wanda Metropolitano adalah rumah anda.”

Selain menjulang La Liga, Godin turut menjulang dua gelaran Liga Europa, satu Piala Raja Sepanyol. Satu Piala Super Sepanyol dan tiga Piala Super UEFA bersama Atletico selain mara ke final Liga Juara-Juara 2014 dan 2016, namun kedua-duanya tewas kepada Real Madrid.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 8:32pm
d