arena

Ribery janji kembali ke Bayern

Oleh AFP

FRANCK Ribery berkata hari ini dia akan kembali ke Bayern Munich sebaik kariernya sebagai pemain berakhir, ketika dia bersiap sedia menamatkan 12 tahun di kelab itu akhir musim ini.

Ribery,36, mengesahkan hujung minggu lalu bahawa dia tidak memperbaharui kontraknya di Bayern selepas 2019, menamatkan karier penuh gemilang bersama kelab gergasi Bundesliga itu.

Dalam sidang media penuh emosi di Munich hari ini, pemain kelahiran Perancis itu berkata dia akan bermain untuk satu atau dua tahun lagi sebelum kembali ke Bayern dengan kapasiti berbeza selepas bersara.

“Saya masih tidak tahu apa akan saya lakukan musim depan, ada beberapa pilihan,” katanya.

“Saya akan bermain untuk satu atau dua tahun lagi dan kemudian saya 100 peratus pasti akan kembali ke Munich. Kami sudah pun membincangkan satu tugas di kelab ini.

“Kami masih mempunyai banyak masa tetapi perkara penting, di sini saya rasa bagaikan di rumah sendiri.”

Ribery berkata pastinya sukar untuknya meninggalkan Bayern selepas berkhidmat selama 12 tahun.

“Ia bukan perkara yang mudah, saya melalui banyak pengalaman dan kemenangan bersama Bayern. Ia masa yang menakjubkan buat saya dan keluarga, saya tidak akan lupakannya.

Ribery yang menjulang 22 gelaran bersama Bayern dan mungkin menjulang gelaran Bundesliga kesembilan musim ini, dijangka menerima sambutan perpisahan luar biasa apabila Bayern menentang Eintracht Frankfurt di Allianz Arena pada hari terakhir musim ini.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 9:58pm
d