arena

Usain Bolt Malaysia perlu habiskan PT3 dahulu

Oleh BERNAMA

MUHAMMAD Azeem Mohd Fahmi harus diberi peluang menamatkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini sebelum sebarang perancangan diatur terhadap pelari pecut muda berkenaan.

Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad berkata dalam tempoh itu, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu memantau prestasi Muhammad Azeem di samping memberi sokongan moral serta mengawal diet pemakanan dan memberi biasiswa supaya bakat pelajar itu terus berkembang.

“Kita tidak boleh gopoh mengambil tindakan yang boleh mengganggu emosinya,” kata Nazmizan kepada Bernama, hari ini.

Minggu lalu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail memberi mesej jelas mahu semua pihak memberi ruang kepada Muhammad Azeem mengembangkan bakatnya mengikut kehendak beliau sendiri.

Muhammad Azeem, 15, diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200 meter menerusi catatan 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor, baru-baru ini.

Nazmizan, 38, yang merupakan Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata peluang Muhammad Azeem untuk menyerlah pada masa hadapan masih luas dan sudahpun diserap dalam program pelapis kebangsaan yang dipantau Institut Sukan Negara (ISN) dan MSN.

Beliau percaya jurulatih Muhammad Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, 50, turut membuat perancangan jangka panjang terbaik untuk atlet berkenaan bagi menyertai pelbagai kejohanan termasuk di luar negara.

“Saya yakin dengan bimbingan yang betul, Muhammad Azeem mampu mencipta kejayaan dan mencatat rekod lebih baik dalam beberapa tahun akan datang,” kata Nazmizan.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 4:54pm
d