arena

Tchetche idam watak pemusnah

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS kembali menemui sentuhan berbisa, penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche mengidam watak pemusnah apabila pasukannya menentang Pahang pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur Kuantan, Jumaat ini.

Menurutnya, dia tidak peduli reputasi skuad Tok Gajah itu yang dilabel 'gergasi’ Pantai Timur selepas menghuni tangga kedua liga berbanding TFC di tempat ketujuh dengan perbezaan sembilan mata selepas mengutip 16 mata setakat ini.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai lawan, sebaliknya tekad bekerja lebih keras dan berjuang habis-habisan untuk dapatkan keputusan terbaik dan seterusnya mara ke separuh akhir.

"Saya harap dapat fokus dan akan mencuba sebaik mungkin untuk tidak melepaskan peluang keemasan bagi menjaringkan gol biarpun sedar bakal dikawal ketat pemain lawan," kata bekas pemain kelab Al-Suwaiq Liga Oman itu.

Pemain kelahiran Ivory Coast berusia 32 tahun itu menamatkan kemarau jaringannya musim ini ketika menentang Kelantan United dalam aksi pusingan ketiga Piala FA.

Setakat ini dia meledak enam jaringan dengan empat gol pada saingan Liga Super manakala dua dihasilkan dalam Piala FA.

Mengulas lanjut, Tchetche mengakui skuad Pahang bukan mudah ditundukkan biarpun tanpa penyerang utama, Dickson Nwakaeme yang dilaporkan mengalami kecederaan.

"Apa yang penting kami harus mengamalkan corak permainan berpasukan dan bukannya individu sebagaimana ketika kami menumpaskan skuad itu 2-1 pada suku akhir pertama di Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu.

"Selain itu kami akan fokus menyerang dan bukannya mengamalkan corak permainan bertahan kerana sedar kelebihan satu jaringan tidak banyak," kata Tchetche yang meledak satu gol pada aksi suku akhir pertama tempoh hari.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 5:25pm
d