arena

Ferrari guna enjin baru layan Mercedes

Oleh Agensi

BOS pasukan Ferrari, Mattia Binotto berkata Ferrari akan bangkit mencabar semula Mercedes pada Grand Prix F1 Sepanyol di Barcelona, hujung minggu ini.

Enjin yang dipertingkatkan prestasi itu pada asalnya dijadual untuk digunakan pada Grand Prix Kanada, bulan depan.

Binotto berkata: “Tetapi kami melakukan usaha berpasukan dan mengambil kata putus untuk membawa perkembangan terbaru itu dengan lebih cepat minggu ini".

Dia menambah: "Kami ketinggalan dalam saingan kejuaraan dan perlu mengejar semula.

“Ia bermakna potensi enjin baru itu akan menjadi bukti perkembangan kompetitif musim ini."

Enjin baru Ferrari itu akan menggunakan petrol baru yang akan meningkatkan tahap prestasi dan rekaan aerodinamik juga dipertingkatkan untuk tujuan itu.

Keputusan terbaik Ferrari musim ini adalah tiga kali menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas tiga perlumbaan.

Sebastian Vettel dua podium di China dan Azerbaijan manakala Charles Leclerc di Bahrain.

Leclerc yang berada pada musim pertama bersama pasukan itu, begitu dominan pada saingan di Bahrain sebelum enjinnya kehilangan kuasa pada penghujung perlumbaan.

Vettel pula mengalami masalah keretanya berpusing selepas dipintas pemandu, Mercedes Lewis Hamilton.

Leclerc juga berada dalam kedudukan terbaik bergelar juara di Baku tetapi terbabas pada sesi kelayakan kedua.

Vettel ketinggalan 35 mata di belakang pendahulu kejuaraan yang memandu Mercedes, Valtteri Bottas.

Pemandu Finland itu mendahului Hamilton dengan satu mata manakala Leclerc lima mata di belakang Vettel di tangga kelima.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen di tangga keempat tercicir satu mata di belakang Vettel.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 6:45pm
d