arena

Rayzam kembali berlatih

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

ATLET 110 meter lari berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian mengesahkan sudah kembali berlatih sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, dia hanya berehat dua minggu selepas menjalani pembedahan akibat patah tangan ketika acara akhir Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia awal bulan lalu.

Ia pastinya berita gembira buat skuad olahraga negara yang mengharapkan pemenang dua pingat emas pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan juga 2007 di Korat, Thailand itu terus menyinar di Manila.

"Saya hanya rehat 10 hari dan kini keadaan tangan sudah pulih. Saya juga sudah mula buat latihan di balapan.

"Cuma masa ini tidak boleh lagi buat latihan 'bench press'," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rayzam Shah berkata, dia kekal berlatih dan menjalani terapi di Sabah sebelum latihan pusat pada Jun depan.

Arena Metro sebelum ini melaporkan atlet berusia 31 tahun itu bersemangat untuk berlatih bagi persiapan Sukan SEA Manila hujung tahun ini biarpun terpaksa menjalani pembedahan bagi memasukkan plat besi pada tulang tangan kanannya.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 7:58pm
d