arena

Perak tetap waspada ancaman 'adik'

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

PERAK tidak mempunyai pilihan selain perlu mempunyai naluri pemusnah ketika menentang ‘adiknya’, PKNP FC jika mahu meneruskan saingan dalam Piala FA apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Perak untuk aksi suku akhir kedua pada Sabtu ini.

Di atas kertas, The Bos Gaurus (TBG) dilihat lebih baik daripada pelbagai segi termasuk menumpaskan PKNP dengan empat gol tanpa balas dalam saingan Liga Super pada 27 April lalu, jaringan terbanyak dalam satu perlawanan dilakukan Perak setakat ini pada musim ini.

Begitupun, keputusan terikat tanpa jaringan dengan PKNP pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, tiga hari kemudian memberi kelebihan pula kepada kelab konglomerat itu jika berjaya menjaringkan gol di tempat lawan.

Bagi kapten Perak, Shahrul Saad, mereka tiada pilihan selain perlu memberi persembahan 100 peratus dan memberi tumpuan menumpaskan lawan jika tidak mahu terkandas sekali lagi di saingan suku akhir seperti musim lalu.

Pada musim lalu, Perak tumpas kepada PKNS dengan agregat 3-4.

"Untuk aksi di Ipoh, kami kena `all-out' bagi membolehkan kemenangan dicatat di tempat sendiri dan perlu memberi 100 peratus jika mahu layak ke separuh akhir.

"Dijangka corak permainan kedua-dua pasukan akan berubah. Kita tidak tahu apa pula strategi yang akan dilakukan pasukan lawan, pastinya tidak sama seperti perlawanan pertama apabila PKNP menggunakan strategi `man to man marking'," katanya.

"Sebenarnya, pada perlawanan pertama kami mempunyai banyak peluang tetapi tidak dapat menghasilkan gol, jadi kali ini perlu lebih fokus untuk menghasilkan gol," katanya.

Perkara sama turut diluahkan pengendali Perak, Mehmed Durakovic yang mahu setiap pemain memberi sepenuh tumpuan pada perlawanan malam Sabtu ini kerana ia bukanlah perlawanan yang mudah walaupun mereka pernah menumpaskan PKNP dengan jaringan besar sebelum ini.

"Semua pemain mahu layak ke separuh akhir tetapi kami sentiasa waspada dengan PKNP selepas perlawanan pertama yang mudah dengan pasukan itu, kami menghadapi kesukaran pada perlawanan kedua, jadi pertembungan kali ketiga ini pastinya turut sukar," katanya.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim pula mahu memastikan keupayaan dan kekuatan empat pemain importnya mencukupi bagi bersaing dengan Perak yang dianggapnya memiliki kekuatan di setiap posisi pertahanan, tengah dan hadapan.

Pada musim lalu, PKNP berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir Piala FA sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Pahang dengan agregat 2-3.

Bagi Abu Bakar, mara ke suku akhir sudah boleh dianggap sebagai kejayaan selepas beberapa pasukan dengan nama besar seperti JDT tidak mampu terus bersaing dalam piala berkenaan.

Justeru, katanya, sama seperti Perak, anak buahnya juga tidak mempunyai pilihan selain perlu berjuang habis-habisan untuk memastikan gawang TBG dapat ditembusi malam minggu ini.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 9:44pm
d