arena

Penyokong terkejut kebangkitan Liverpool

Oleh Firdaus Hashim

KEJAYAAN Liverpool mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) mengatasi Barcelona 4-3 secara agregat bukan saja dirasai di Anfield, Liverpool malah aura keajaiban itu turut dirasai penyokong tanahair yang mengakui terkejut dengan kebangkitan anak buah Jurgen Klopp itu.

Ketinggalan 0-3 pada aksi pertama di Nou Camp nyata tidak mematahkan motivasi The Reds apabila meraih empat gol dalam aksi timbal balik untuk meranapkan impian menjulang trofi buat kali keenam dalam sejarah kelab Sepanyol itu.

Sebaliknya, Liverpool kini berpeluang mendakap buat kali keenam selepas musim lalu dikecewakan Real Madrid di pentas final dengan 3-1.

Menurut kelab penyokong Liverpool di Malaysia KL Kopites, S Ragunath, ini kesempatan terbaik buat kelab itu menamatkan kemarau kejuaraan UCL sejak kali terakhir dimenangi pada musim 2004-2005.

"Keputusan amat mengejutkan dan membanggakan buat semua penyokong, tapi inilah Liverpool. Kita tidak putus asa sampai wisel penamat.

"Walaupun bermain tanpa beberapa pemain utama, Liverpool bermain sepenuh hati untuk membenam Barcelona di Anfield. Tahun ini peluang lagi cerah untuk menang di final, namun pasukan Ajax atau Spurs tak boleh dianggap mudah.

"Sekiranya Liverpool bermain dengan prestasi sama, maka juara UCL kali keenam milik Liverpool," katanya yang memegang jawatan selaku Bendahari dalam kelab penyokong itu.

Sementara itu, kejayaan dramatik menyingkirkan Messi dan rakan-rakannya turut dikongsi pengacara sukan tempatan, Aina Suzaily di laman instagramnya.

"Cuba teka saya makan lauk apa sahur tadi," katanya sambil memakai jersi Liverpool sebagai tanda menyokong kelab England itu.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 9:58pm
d