arena

Barcelona hilang sabar dengan Coutinho

Oleh Agensi

PHILIPPE Coutinho ‘bukan lagi pemain Barcelona’ dan bakal menjadi pemain pertama ditendang keluar selepas kekalahan memalukan di tangan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara apabila pengurusan tertinggi gergasi Sepanyol itu dijangka turut membincangkan masa depan pengurus Ernesto Valverde, menurut sumber kelab kepada ESPN FC.

Sumber turut mengesahkan beberapa staf kejurulatihan kecewa dengan prestasi Coutinho musim ini. Pemain Brazil itu dibeli dengan harga rekod kelab €160 juta (RM774 juta) tetapi persembahannya dalam dua aksi separuh akhir menguatkan andaian masanya sudah tamat di Camp Nou.

"Coutinho bukan pemain Barcelona, sudah jelas dan boleh mengucapkan selamat tinggal pada musim panas,” menurut sumber kelab.

Bekas bintang Liverpool itu mempamerkan prestasi cemerlang pada awal musim tetapi semakin merudum sejak mengalami kecederaan pada Oktober lalu dan terus merosot sehingga kini.

Lembaga Pengarah akan membincangkan masalah dihadapi dalam beberapa hari lagi dengan nasib Valverde turut menjadi tumpuan. Bekas pengurus Athletic Bilbao itu berjaya menjulang kejuaraan liga dua tahun berturut-turut tetapi kegagalan dalam saingan Liga Juara-Juara dengan cara memalukan menimbulkan persoalan mengenai kemampuan pengendali itu.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 11:50pm
d