arena

Kane tak sabar beraksi

Oleh AFP

HARRY Kane berkata dia kini hampir cergas sepenuhnya untuk bersama Tottenham pada aksi final Liga Juara-Juara dengan Liverpool selepas kapten England itu meraikan kejayaan pasukannya susulan kemenangan mereka ke atas Ajax.

Kane kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan ligamen buku lali, namun berada di bangku penonton di Johan Cruyff Arena ketika Tottenham bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menang 3-2 pada aksi separuh akhir kedua awal pagi tadi.

Kebangkitan menakjubkan itu membawa Tottenham ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama dan Kane yakin dia sudah bersedia untuk perlawanan itu apabila anak buah Mauricio Pochettino berdepan Liverpool di Madrid pada 1 Jun depan.

“Kita lihat nanti. Setakat ini semuanya baik, ia berjalan lancar seperti diharapkan. Masih ada baki beberapa minggu,” kata Kane kepada BT Sports.

“Proses pemulihan berjalan lancar. Saya mula berlari minggu ini dan sebab itu saya rasa sudah boleh berlari dengan baik.

“Kami menewaskan Man City dan Ajax jadi saya perlu mula berlatih keras bagi membuktikan kemampuan saya kepada jurulatih.”

Kane diketepikan sejak mengalami kecederaan buku lali terkini ketika berlanggar dengan pemain Manchester City pada aksi suku akhir pertama pada 9 April.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 12:48pm
d