arena

Mora puas aksi pemain

Oleh Rizar Mohd Noor

KETUA jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora puas hati dengan komitmen barisan pemainnya yang merealisasikan impian untuk mencipta sejarah menewaskan juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Beliau berkata, persembahan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan cukup membanggakan walaupun jarang diturunkan namun kelibat pemain itu yang bertungkus lumus menghalang percubaan berbahaya lawan menyuntik semangat rakan sepasukan memperaga aksi terbaik untuk mencipta kemenangan pertama dalam saingan kelab-kelab elit Asia.

Malah katanya, selain Izham Tarmizi, kualiti permainan pemain muda Afiq Fazail begitu matang mengemudi jentera tengah apabila berjaya membentuk kombinasi mantap bersama Hariss Harun dan Nazmi Faiz Mansor.

"Izham Tarmizi jarang diturunkan dalam kesebelasan utama tapi karektor pemain itu yang sentiasa bersikap positif apabila beraksi dan kerap beri persembahan terbaik apabila khidmatnya ditagih dalam perlawanan yang penting. Saya amat berpuas hati.

"Afiq juga tidak dinafikan penglibatannya membantu pasukan meraih kemenangan dalam perlawanan itu kerana dia seorang pendiam tetapi apabila beraksi di padang dia mempamerkan aksi menakjubkan dan saya bangga memiliki pemain seperti mereka.”

Mengulas kecemerlangan Syafiq Ahmad yang menjaringkan gol bagi memastikan skuad Harimau Selatan melakar kejutan menewaskan juara bertahan itu, Mora menegaskan pemain itu bukanlah seorang penyerang tulen sebaliknya melaksanakan tugas yang dipikul.

Beliau berkata, Syafiq yang sering berada di bangku simpanan akan beraksi di posisi tengah dan juga sayap kanan dan kelebihan pada dirinya membolehkan pemain itu bergerak bebas dan mampu mengelirukan pasukan lawan.

"Itu kelebihan Syafiq kerana dia bukan penyerang statik sebaliknya akan bergerak di setiap posisi sama ada di sayap kiri dan kanan selain beraksi di posisi tengah dan saya beri dia kebebasan.

"Syafiq membuktikan kepada kami, tanpa pemain import, pemain tempatan juga mampu menyerlah dan terbukti dia berjaya menjaringkan gol kemenangan penting buat kami mencipta sejarah menang dalam saingan ACL," kata Mora.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 1:36pm
d