arena

Semangat juang Liverpool inspirasi Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

DISIPLIN tinggi menjadi fokus utama skuad Pahang apabila melayan Terengganu FC pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam esok. 

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, jika faktor itu berjaya dilakukan, kemenangan bakal menjadi milik pasukan. 

Katanya, kekalahan 1-2 pada suku akhir pertama tidak menjejaskan tumpuan skuad itu untuk bangkit mencatat kemenangan selesa di laman sendiri. 

"Bagi saya, tiada mustahil untuk memastikan slot separuh akhir menjadi milik Pahang.  Sebagai contoh, kita boleh saksikan kebangkitan Liverpool yang melakukan kejutan menewaskan Barcalona biarpun tewas 0-3 pada aksi pertama tetapi mereka bangkit untuk layak ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah. 

"Oleh itu semua pemain perlu mempamerkan displin tinggi dan mengikut arahan jurulatih (Dollah Salleh) untuk mempertahankan Piala FA yang diraih musim lalu," katanya. 

Ditanya perkembangan Dickson Nwakaeme dan Safuwan Baharudin yang sebelum ini mengalami kecederaan, beliau mengesahkan dua pemain import itu akan disenaraikan pada perlawanan itu. 

Katanya, sekembalinya penyerang dari Nigeria itu diyakini menambah bisa di bahagian serangan. 

"Namun, Jose Eduardo tidak dapat disenaraikan kerana digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning. 

"Biarpun tanpa Ze Love (Eduardo), saya percaya semua pemain diberi tanggungjawab akan bermain dengan penuh semangat untuk kembali bangkit daripada dua kekalahan," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 5:21pm
d