arena

Brooker teruja tunggu aksi Wendy, Dhabitah

Oleh Ferzalfie Fauzi

JURULATIH terjun negara, Christian Brooker tidak sabar melihat gandingan Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri menjelang saingan Siri Terjun Dunia di Kazan, Russia yang bermula esok.

Ini kerana kedua-dua penerjun itu sudah lama tidak bergandingan bersama dalam acara tiga meter papan anjal seirama selepas kali terakhir di Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu.

Menurut Brooker, beliau mahu melihat bagaimana kedua-dua anak buahnya itu mengawal tekanan di kejohanan berkenaan.

"Ia akan memberikan kita satu ukuran dan gambaran awal, apa lagi yang perlu diperbaiki bermula dari sekarang sehingga Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan Julai nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Wendy-Dhabitah berjaya mempamerkan aksi cemerlang di Sukan Asia tahun lalu apabila merangkul pingat perak. Emas milik penerjun China, Chang Yani-Shi Tingmao dan gangsa diraih Kim Kwang Hui-Kim Mi Hwa (Korea Utara).

Bagaimanapun, Chang Yani kali ini bergandingan bersama Lin Shan yang memberi aksi cemerlang di Sukan Olimpik Remaja tahun lalu di Buenos Aires.

Dhabitah juga akan bergandingan bersama Syafiq Puteh dalam acara tiga meter papan anjal seirama campuran.

Atlet lain yang akan mengambil bahagian ialah Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya dalam acara 10m platform seirama.

Hanis Nazirul juga bakal bergandingan bersama Leong Mun Yee bagi acara 10m platform seirama campuran.

"Bagi penerjun lain saya harap mereka mampu untuk kekal konsisten, ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk beraksi dengan mencuba teknik dan strategi baru," kata jurulatih kelahiran Australia itu.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 6:05pm
d