arena

Melaka intai seorang lagi import baharu

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) membayangkan untuk mengambil import baharu sepanjang jendela perpindahan kedua pemain yang kini dibuka.

Jurulatih MU, Zainal Abidin Hasan berkata, beberapa import akan hadir ke bandar raya berkenaan dalam tempoh terdekat bagi diuji sebelum keputusan akhir dibuat.

Katanya, selepas Luka MiIunovic hadir mengambil alih tempat Liridon Krasniqi (Mat Don), dia membayangkan menyenaraikan sekurang-kurangnya seorang lagi import baharu untuk membarisi skuad berkenaan.

"Apapun buat masa ini, saya enggan menamakan siapakah pemain terbabit dan import mana yang akan terkeluar dalam senarai mengharungi pusingan kedua Liga Super selepas ini.

"Jika pemain baharu yang diuji berkemampuan dan lebih baik, tidak mustahil mereka akan mendapat tempat dalam skuad Hang Tuah," katanya.

Bekas penyerang kebangsaan, Pahang dan Selangor itu bagaimanapun terlebih dahulu tetap melihat kemampuan persatuan sebelum menyenaraikan mana-mana import baharu dalam skuad berkenaan.

Malah dia juga perlu menerima lampu hijau Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) serta memperolehi persetujuan pengurusan pasukan.

Sementara itu, Zainal lega tindakan tidak meneruskan khidmat Mat Don yang diganti Milunovic dipersetujui bekas pemain Kedah terbabit.

Menurutnya, usaha pemulihan agresif Mat Don di Jerman diharap bakal segera berhasil demi masa depan kerjaya bola sepaknya.

Baginya, MU sememangnya masih memerlukan khidmatnya namun atas kecederaan yang dialami meletakkan jodoh tidak panjang buat Mat Don bersama skuad Hang Tuah.

Dalam pada itu, dia menafikan timbul salah faham dan kekeliruan dan pergeseran antara MU dan pemain terbabit sebelum ini.

Sebaliknya, kepentingan terhadap pasukan turut menjadi keutamaan buat Mat Don dengan persetujuan berkenaan dicapai secara mesra.

Selain Milunovic, MU kini memiliki penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande, Darko Markovic (Montenegro), Jang Suk-Won (Korea Selatan) dan Patrick Reichelt (Filipina).

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 10:12pm
d