arena

Semangat sepasukan penting di Nanning

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia mengakui semangat sepasukan sangat penting menjelang saingan Piala Sudirman yang berlangsung dari 19 hingga 26 Mei ini di Nanning, China.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, Piala Sudirman memang sangat berbeza dengan Piala Thomas di mana ia menggabungkan pemain wanita dan lelaki dalam satu pasukan.

"Apabila kita bercampur semua sekali, paling penting dalam hal ini ialah soal kerjasama. Saya sudah bermain di Piala Thomas dan ia sedikit berbeza berbanding Piala Sudirman," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik berkata, dia juga tidak berdepan sebarang masalah untuk digandingkan dengan mana-mana pemain bergantung kepada percaturan jurulatih di kejohanan berkenaan.

"Saya tidak ada masalah jika menukar gandingan, kerana kita semua berlatih bersama dan saya tidak kisah bergandingan dengan siapa saja," katanya yang pernah berpasangan dengan Teo Ee Yi di Piala Thomas Bangkok tahun lalu.

Selain Aaron, Wooi Yik dan Ee Yi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan dua lagi pemain ke kejohanan berkenaan iaitu Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin Rumsani.

"Bagi saya lawan China ataupun India, kesemua kita mempunyai kelebihan seimbang iaitu antara 50-50 atau 60-40.

"Paling kuat dalam kumpulan ini ialah China, cuma di atas kerta kita perlu bertarung dengan India untuk melihat siapa lebih berpeluang ke suku akhir," katanya.

Ujar Aaron, mereka akan berbincang semula dengan jurulatih mengenai siapa akan diturunkan untuk kedua-dua perlawanan berkenaan.

"Di atas kertas kita mengharapkan pemain beregu dan India lebih kuat dari segi perseorangan. Bagaimanapun, perseorangan kita tidak kurang hebatnya dan ia bukan mustahil untuk mencipta kejutan.

"Kita akan lihat bagaimana kelima-lima bahagian nanti dan paling penting sekarang ini ialah mempunyai kelebihan dari segi beregu," katanya. Tiga perseorangan lelaki yang dipertaruhkan ialah Lee Zii Jia, Cheam June Wei, Soong Joo Ven, manakala perseorangan wanita pula digalas Goh Jin Wei, Soniia Cheah dan Lee Ying Ying.

Beregu wanita pula menampilkan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, manakala beregu campuran pula digalas Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Nur Izzuddin Rumsani.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 11:01pm
d