arena

'Fikir dulu Akhyar sebelum terima tawaran Bate'

Oleh Firdaus Hashim

BINTANG muda sensasi negara, Akhyar Rashid dinasihatkan agar tidak tergopoh-gapah menerima tawaran kelab Liga Belarus, Bate Borisov yang difahamkan cukup berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Menurut ejen terkenal tempatan, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, corak permainan agresif diamalkan di negara terbabit dilihat tidak sesuai buat pemain kelahiran Kedah itu yang mungkin menjadi mangsa terjahan keras di sana.

Sebaliknya, beliau melihat saingan Liga Jepun (J-League) atau Liga Korea Selatan (K-League) adalah destinasi paling sesuai seperti mana ditunjukkan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin bersama Hokkaido Consadole Sapporo di J-League.

"Kalau betul berita tawaran itu, saya harap Akhyar fikir dulu sebelum membuat keputusan untuk ke sana. Lagipun tahap liga Belarus dalam peringkat ketiga saja, tidak jauh dengan tahap Liga Malaysia.

"Peringkat pertama liga seperti EPL (Liga Perdana Inggeris), La Liga dan lain-lain manakala Liga Belgium dan Belanda dalam kategori kedua. Jadi tahap persaingan lebih kurang saja dengan negara kita.

“Tapi sekiranya dia ingin melebarkan sayap ke luar, lebih baik mencuba nasib di Jepun atau Korea Selatan. Bagi saya, di Jepun saingan liganya lebih kompetetif dan berkualiti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi maklumat didedahkan Football Agent semalam, pemain JDT itu kini menjadi sasaran utama Bate Borisov yang dianggap kelab paling berjaya di Belarus dengan merekodkan 15 kali kejuaraan Liga Perdana, tiga kali menjulang Piala Belarus dan tujuh kali meraih Piala Super Belarus.

Begitupun, seandainya rundingan kedua-dua pihak berjalan lancar, Bate Borisov harus membayar RM12 juta kepada skuad Harimau Selatan itu yang meletakkan tanda harga berkenaan pada awal musim ini.

Berdasarkan nilai pertukaran mata wang Dollar yang lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia, dipercayai bayaran 'pembelian' berkenaan bukanlah halangan besar buat kelab Eropah itu untuk medapatkan adik kepada bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu.

Malah, jika perpindahan itu berjaya, Akhyar berkemungkinan menjadi pemain Malaysia yang pertama bermain di pentas Liga Europa atau saingan elit UCL pada musim akan datang.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 12:12am
d