arena

Pedro Victor perkukuh benteng PKNP

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PKNP FC mengambil langkah drastik mengukuhkan benteng pertahanan sebelum perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, esok dengan membawa masuk pemain import baharu dari Brazil, Pedro Victor.

Pedro, 25, beraksi dengan Esporte Clube Noroeste di Sao Paulo, akan beraksi di posisi pertahanan menggantikan pemain import dari Tajikistan, Siyovush Asrorov yang ditamatkan kontrak.

Kemasukan Pedro menjadikan PKNP FC dibarisi lima pemain import termasuk Thomas Abbey, Giancarlo Lopes Rodrigues, Yashmir Armando Islame Pinto dan Amani Santos Aguinaldo.

Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kemasukan Pedro amat ditagih menjelang perlawanan penting itu memandangkan Perak turut akan menggunakan dua pemain import baharu.

"Perak menggunakan dua pemain import baharu di barisan serangan (Ronaldo Henrique Silva, 28 dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) 23, justeru kita (PKNP FC) perlu memperkemaskan barisan terutama di benteng pertahanan.

"Memang dapat dilihat kelemahan kita adalah di benteng pertahanan pada lapan perlawanan Liga Super sebelum ini.

Itu masalah utama kita, di barisan serangan kita lihat sudah baik dan pemain serangan termasuk tengah sudah berjaya menghasilkan gol," katanya dalam sidang media di Ipoh, hari ini.

Hadir, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim.

Zainol Fadzi berkata, Pedro sudah menandatangani kontrak selama enam bulan sehingga akhir musim ini dengan PKNP FC dan prestasinya akan dinilai sebelum pengurusan mengambil keputusan sama ada untuk menyambung kontraknya atau tidak.

Menurutnya, barisan kejurulatihan PKNP FC juga sedang memantau prestasi kesemua pemain import dan akan mengambil tindakan drastik menukar pemain menunjukkan prestasi tidak baik pada jendela perpindahan.

Mengulas mengenai perlawanan bertemu pasukan 'abang' iaitu Perak, Zainol Fadzi berkata, tiada istilah pakatan pada perlawanan itu.

PKNP FC akan menunjukkan permainan terbaik bagi menguburkan hasrat juara Piala Malaysia itu.

"Kita akan mengambil semangat Liverpool pada perlawanan itu nanti dan kita sebenarnya ada kelebihan kerana kedudukan terikat 0-0 di gelanggang sendiri (Stadium Majlis Perbandaran Manjung) pada pusingan pertama.

"Kalau keputusan berakhir dengan 1-1 di Stadium Perak pun bermakna kita sudah menang jadi saya berharap pemain akan mempamerkan prestasi cemerlang dan layak ke separuh akhir," katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 5:23pm
d