arena

Brooker puas hati terjunan Hanis-Jellson

Oleh Ferzalfie Fauzi

LEBIH baik berbanding ketika latihan, ujar jurulatih terjun negara Christian Brooker mengenai prestasi dua penerjun muda, Hanis Nazirul Jaya Surya-Jellson Jabillin yang menduduki tempat kelima acara 10 meter platform seirama lelaki di Siri Terjun Dunia di Kazan, Russia hari ini.

Menurut Brooker, walaupun kedua-duanya mempunyai tempoh singkat untuk berlatih bersama, aksi di Kazan harus diberi pujian.

"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini mereka berdua mempunyai tempoh terhad untuk berlatih bersama kerana Nazirul beraksi di Siri Dunia, manakala Jellson pula mengambil bahagian di Kanada serta Amerika Syarikat untuk saingan Grand Prix (GP)," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya, jika Hanis Nazirul-Jellson berhasrat untuk beraksi setanding dengan penerjun handalan lain, kedua-dua perlu serasi dalam melakukan terjunan tahap kesukaran lebih tinggi.

"Mereka berdua masih lagi muda dan kurang pengalaman, jadi mereka masih mempunyai banyak masa untuk mempertingkatkan tahap kesukaran," kata pengendali dari Australia itu.

Hanis Surya-Jellson menduduki tempat terakhir dalam acara berkenaan apabila mengumpul 334.26 mata keseluruhan.

Emas berjaya diraih wakil China, Yang Hao-Lian Junjie yang memungut 444.18 mata, mengetepikan penerjun tuan rumah, Aleksandr Bondar-Viktor Minibaev (403.02).

Gangsa diraih Thomas Daley-Matthew Lee dari Great Britain, selepas mereka mengumpul 395.82 mata.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 6:33pm
d