arena

Skuad muay thai sasar satu emas

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

BERIKUTAN kekangan diberikan tuan rumah Filipina yang mengehadkan hanya penyertaan empat atlet lelaki dan satu wanita, skuad muay thai negara meletakkan sasaran satu pingat emas pada Sukan SEA Filipina penghujung November ini.

Skuad muay thai negara pernah membawa pulang dua emas pada edisi 2013 di Myanmar dan dua emas ketika negara menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

“Ada sembilan kategori semuanya tetapi disebabkan peraturan ditetapkan negara tuan rumah membolehkan mereka menyertai semua kategori tetapi negara lain hanya dibenarkan penyertaan empat lelaki dan seorang wanita,” kata Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi.

“Kita sasarkan satu pingat emas memandangkan yang menyertai Sukan SEA kali ini adalah atlet muda.” Ketika ini menurutnya kesemua 16 atlet sedang menjalani latihan di Thailand sejak Februari lalu. Mereka hanya akan bercuti ketika Aidilfitri dan menyambung latihan sehingga hujung tahun.

“Ini persiapan kita untuk Sukan SEA dan memang kita putuskan untuk berlatih di luar negara kali ini. Kelompok ini adalah kelompok atlet muda, atlet SUKMA (Sukan Malaysia) yang kita persiapkan untuk jangka panjang,” kata Shahnaz.

“Apatah lagi kita mendapat maklumat bahawa muay thai akan dipertandingkan di Sukan Olimpik Belia 2022, jadi kita ingin memberi pendedahan awal kepada mereka.”

Jelas Shahnaz lagi, pemilihan atlet ke Sukan SEA akan diadakan pada Jun di mana pihaknya akan membawa petinju kelas A dari Thailand dan Turki untuk menguji atlet negara sebelum fasa ketiga di mana mereka akan mengurangkan bilangan atlet kepada lima.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 8:12pm
d