arena

Mkhitaryan mungkin terlepas final Europa

Oleh AFP

ARSENAL menyatakan mereka “terlalu bimbang” Henrikh Mkhitaryan mungkin terlepas aksi final Liga Europa menentang Chelsea di Baku kerana ketegangan politik antara Armenia dan Azerbaijan.

Kapten Armenia itu menarik diri daripada aksi awal Gunners pada pertandingan itu menentang Qarabag kerana pertelingkahan mengenai wilayah Nagorny Karabakh, isu yang dibimbangi Arsenal sekali lagi selepas mereka menyingkirkan Valencia 7-3 secara agregat awal pagi semalam dan layak ke final di ibu negara Azerbaijan itu pada 29 Mei ini.

“Kami meminta jaminan UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) mengenai adakah selamat buat Henrikh Mkhitaryan berkunjung ke Baku bagi final Liga Europa, dengan pasukan dan pemain memerlukannya berada di dalam skuad,” menurut Arsenal dalam satu kenyataan.

“Jaminan mengenainya masih belum diperoleh dan kami berharap UEFA dapat memberikannya dengan segera. Kami sudah tentu amat bimbang dengan lokasi final yang membuatkan Micki mungkin tidak boleh bermain di final.”

Azerbaijan dan Armenia bertelagah mengenai Nagorny Karabakh sejak pemisah Armenia merampas wilayah itu ketika peperangan yang didakwa meragut 30,000 nyawa pada awal 1990-an.

Genjatan senjata dipersetujui pada 1994 tetapi kedua-dua negara masih berbalah dan sering berbalas tembakan.

Mkhitaryan sebelum ini tidak membuat kunjungan ke Azerbaijan ketika beraksi bersama bekas kelabnya Borussia Dortmund dalam aksi Liga Europa menentang Galaba FK pada 2015.

UEFA menyatakan dalam satu kenyataan: “Ia prosedur standard bagi UEFA menghantar surat sokongan kepada persatuan, kelab atau kedutaan dalam usaha mendapatkan visa bagi pemain dan membenarkan mereka beraksi dalam perlawanan kejohanan UEFA.”

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 11:52am
d