arena

Sung Hoon ungguli Byron Nelson

Oleh AFP

PEMAIN Korea Selatan, Kang Sung Hoon mencatat enam birdie berturut-turut dalam laluan merakam 10 bawah par 61 untuk mendahului empat pukulan selepas pusingan kedua kejohanan Byron Nelson dalam PGA AS, awal pagi tadi.

Sung Hoon, yang memburu kejuaraan sulung dalam PGA AS, mengumpul 16 bawah par 126 selepas 36 lubang di Trinity Forest Golf Club di Dallas, empat pukulan di depan Matt Every dan Tyler Duncan, yang masing-masing mencatat 65 dan 66.

Dibantu cuaca sejuk awal saingan, warga Dallas itu bermula dengan birdie, pukulan ketiganya di lubang pertama par-lima singgah beberapa inci dari lubang.

“Ia permulaan sempurna dan mengagumkan,” kata Sung Hoon.

“Saya tinggal di Dallas, kira-kira 30 minit dari lapangan golf dan saya tidak pernah lihat cuaca sebegini pada Mei. Saya tahu ia pasti sejuk dan berangin jadi saya cuba bersedia melihat sejauh mana bola pergi pagi ini dan ia ternyata berbaloi.”

Sung Hoon, yang mencatat 60 di Pebble Beach pada 2016, menambah birdie dari jarak 18 kaki pada lubang ke-13 par-empat, 12 kaki pada lubang ke-14 par-lima dan 11 kaki pada lubang ke-16 par-empat. Namun dia tidak terfikir untuk berakhir dengan dua lagi birdie untuk mencatat 59.

“Saya tidak terfikir langsung mengenai 59,” katanya. “Saya ingatkan ia terlalu jauh untuk dicapai hinggalah saya mengakhiri permainan.”

Pemain Amerika Syarikat, Brooks Koepka mencatat 66 dan berseorangan di tangga keempat.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 1:31pm
d