arena

Dollah tabik semangat juang Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh memuji displin dan semangat berpasukan dipersembahkan pemainnya untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, biarpun ketinggalan 1-2 pada suku akhir pertama, kemenangan 4-0 dan mara menerusi agregat 5-2 ke atas Terengganu FC (TFC) sememangnya dinantikan beliau.

"Malam ini (semalam), pasukan kembali menemui sentuhan seperti dipersembahkan pada awal musim tetapi di penghujung pusingan pertama Liga Super, kami tidak begitu menjadi.

"Namun, kami bangkit daripada dua kekalahan untuk meletakkan pasukan pada kedudukan lebih baik, sekali gus mara ke separuh akhir Piala FA.

"Sebenarnya, saya percaya kemenangan boleh memihak Pahang cuma keputusan dan jaringan saya bimbangkan tetapi pemain mempamerkan persembahan menyakinkan," katanya.

Dollah berkata, kehadiran Dickson Nwakaeme dan Safuwan Baharudin banyak membantu memperkasakan pasukan dalam memburu kemenangan.

Katanya, dua pemain import itu menjadi tonik terbaik buat skuad Tok Gajah sekali gus menafikan skuad Penyu biarpun lawan pada satu ketika memiliki kelebihan.

Pada aksi suku akhir kedua itu, empat gol Pahang, masing-masing dua disumbangkan Nwakaeme pada minit ke-46 dan 63 manakala Mohd Faisal Halim dan Mohamadou Sumareh minit ketujuh dan 74.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 5:20pm
d