arena

'Kami nyaris dibolosi lapan gol' - Irfan

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui kekalahan 0-4 pada suku akhir kedua Piala FA semalam adalah yang terburuk skuad itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Beliau berkata, kekalahan 2-5 menerusi agregat walaupun menang 2-1 pada suku akhir pertama memadam impian skuad Penyu untuk menjulang piala berprestij yang kali terakhir dimenangi pada 2011.

"Malam ini (semalam), ia adalah perlawanan terburuk TFC dalam saingan Liga M ketika pasukan perlu memang untuk mara ke separuh akhir.

"Namun, kelekaan dan persembahan kurang agresif menyebabkan kita tewas kepada Pahang yang berhak menang berdasarkan prestasi dipersembahkan mereka.

"Bagi saya, pemain tidak cerdik kerana memberi ruang sepenuhnya kepada Pahang menguasai perlawanan dan kita mungkin dibolosi sehingga lapan gol," katanya.

Irfan Bakti berkata, beliau sudah mengingatkan kepada anak buahnya supaya tidak bermain secara bertahan kerana ia boleh memberi kesan terhadap keputusan perlawanan.

Katanya, kebimbangannya itu ternyata apabila tuan rumah menyempurnakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol.

"Pemain saya berusaha melakukan serangan tetapi sudah terlambat. Mereka juga tidak berani ‘pegang’bola dan lebih kepada menghantar bola lambung dan tinggi. "Sebenarnya, saya tidak sangka TFC akan mengalami kekalahan besar pada perlawanan malam ini (tadi)," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 5:32pm
d