arena

Lee Tuck kena tunggu dua tahun lagi?

Oleh Firdaus Hashim

LEE Tuck yang kempunan untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat memiliki 'jalan kedua' dengan menggunakan proses naturalisasi seperti mana Mohamadou Sumareh.

Sebelum ini, hasrat pemain Terengganu FC itu untuk menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam masa terdekat berkubur berikutan kegagalan mengemukakan dokumen sebagai pemain berdarah campuran selepas neneknya dikatakan berasal dari negara ini.

Menurut ejen Tuck yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, pemain kelahiran England itu sudah berusaha untuk mendapatkan dokumen sah mengenai neneknya namun maklumat berkenaan gagal ditemui.

"Tuck selepas tempoh itu (Jawatankuasa Program Natusalisasi FAM) hingga tamat tak dapat kemukakan bukti (mengenai hubungan dengan Malaysia).

"Saya yang membantunya dalam proses (mengumpulkan maklumat). Buat masa ini kita lupakan dulu hingga dia dapat dokumennya itu.

"Tapi kalau tak dapat kita ada cara lain iaitu memohon sebagai pemain naturalisasi namun dia kena tunggu lagi dua tahun untuk cukupkan lima tahun berada di negara ini," katanya kepada Arena Metro.

Pada Disember lalu, Tuck menyuarakan hasrat untuk beraksi bersama skuad kebangsaan terutamanya selepas tertarik aksi Sumareh di saingan Piala AFF.

Dia yang difahamkan mempunyai pertalian darah dengan negara ini tidak berdepan masalah untuk disenaraikan sebagai pemain negara mengikut jejak Branden Gan, Matthew Davies, Kiko Insa dan lain-lain.

Bagaimanapun, niat Tuck terhalang selepas dia gagal mengemukakan dokumen tentang neneknya untuk memenuhi syarat sebagai pemain kacukan yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Dia sudah bermain di negara ini selama tiga tahun. Saya percaya dia mungkin boleh kekalkan prestasinya sehingga cukup lima tahun di sini.

"Bagi saya, Tuck seorang pemain yang positif dan sentiasa mengambil berat tentang kecergasan diri. Cuma kita tak boleh nak jangka apa yang akan berlaku di masa depan tetapi sebagai pemain profesional dia tahu bagaimana untuk mengekalkan kecergasan dan prestasinya," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 8:31pm
d